Panduan Industri

Jabatan Kastam Diraja Malaysia

  • Full Screen
  • Wide Screen
  • Narrow Screen
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Panduan Perkastaman Pulau Bebas Cukai - 5. Prosedur Mengimport Dan Mengeksport Barang Dagangan

E-mel
Indeks Artikel
Panduan Perkastaman Pulau Bebas Cukai
2. Tujuan Penubuhan PBC
3. Peruntukan Undang-undang
4. Tempat Pendaratan Yang sah
5. Prosedur Mengimport Dan Mengeksport Barang Dagangan
6. Prosedur Membawa Kenderaan Yang Telah Didaftar Di PBC
7. Prosedur Membawa Kenderaan oleh Pemastautin di PBC Secara Bona Fide
8. Pengecualian
Semua Muka

5. Prosedur Mengimport Dan Mengeksport  Barang Dagangan

3.1  Prosedur Import

3.1.1 Barangan dari Luar Negara ke Pulau Bebas Cukai (PBC)

3.1.1.1 - Pengikraran dibuat di Pejabat Kastam PBC menggunakan Borang Kastam No. 1.

3.1.1.2 -  Pembayaran duti/cukai bagi petroleum dan barang keluaran petroleum di semua PBC, semua jenis kenderaan bermotor bagi Tioman seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Duti Kastam (Tioman) 2004, Perintah Duti Eksais (Tioman) 2004 dan Perintah Cukai Jualan (Tioman) 2004, barangan yang tersenarai di bawah Perintah Duti Kastam (Langkawi) 1986 iaitu simen, marmar, getah dan ikan bilis bagi Langkawi mengikut kadar-kadar yang ditetapkan di bawah Perintah Duti Kastam hendaklah dibuat di Pejabat Kastam PBC yang berkenaan.

3.1.1.3 - Barang-barang yang dilarang pengimportannya secara mutlak, iaitu dilarang dibawa masuk ke PBC adalah seperti tersenarai di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008.  Bagi barang-barang yang tersenarai di Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 memerlukan permit/lesen import dari agensi yang berkaitan. Permit/lesen tersebut hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum pengimportan ke PBC dibuat. Barang-barang yang tersenarai di bawah Jadual Empat Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 boleh dibawa masuk dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Barang-barang yang tersenarai di Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 tidak terpakai bagi barang-barang yang  dibawa masuk ke PBC tetapi terpakai bagi barang-barang apabila di bawa keluar dari PBC ke Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

3.1.2 Barangan dari PBC ke Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak

3.1.2.1 - Mengikrar menggunakan  Borang Kastam No. 1. untuk barangan berduti/cukai dan akan ditanda perkataan “IMPORT KE KUK” oleh Kastam. Sekiranya pengikraran dibuat secara elektronik, khidmat kedai EDI atau agen kastam  bolehlah digunakan.

3.1.2.2 - Bagi barangan import samada berduti/cukai atau tidak berduti/cukai, pengangkutan barangan dari PBC ke  Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak hendaklah menggunakan borang Kastam no.3 dengan disertakan salinan borang Kastam no.1. Bagi barangan tempatan pula hendaklah menggunakan borang Kastam No.3 dan disertakan invois belian.

3.1.2.3 - Pemindahan barangan dari PBC bukan untuk dibayar duti/cukainya secara transit ke Gudang Berlesen, Kedai Bebas Cukai dan Zon Bebas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak hendaklah diikrar menggunakan borang Kastam No.8. Begitu juga dengan pemindahan secara transit dari PBC ke luar negara untuk tujuan eksport melalui (Kawasan Utama Kastam) Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Contohnya pemindahan dagangan yang diangkut dari Labuan menggunakan lori berkunci, menaiki feri ke Menumbok dan terus ke Lahad Datu untuk seterusnya dieksport ke Filipina.

3.1.2.4 - Pendaftaran borang ikrar, pemeriksaan barangan atau pembayaran duti/ cukai (jika berkenaan) hendaklah dibuat di Pejabat Kastam PBC yang berkenaan.

3.2 Prosedur Eksport

3.2.1       Barangan dari PBC  ke Luar Negara.

3.2.1.1 - Mengikrar menggunakan Borang Kastam No. 2

3.2.1.2 - Pendaftaran borang ikrar, pemeriksaan barangan, atau pembayaran duti/cukai (jika berkenaan) hendaklah dibuat di Pejabat Kastam Pulau Bebas Cukai yang berkenaan.

3.2.1.3 - Barang-barang yang dilarang pengeksportannya secara mutlak, iaitu dilarang dieksport keluar dari PBC adalah seperti tersenarai di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2008.  Bagi barang-barang yang tersenarai di Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2008 memerlukan permit/lesen import dari agensi yang berkaitan. Permit/lesen tersebut hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum pengeksportan dari PBC dibuat. Barang-barang yang tersenarai di bawah Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2008 boleh dieksport keluar dengan permit/lesen yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

3.2.2 Barangan dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak Ke Pulau Bebas Cukai

3.2.2.1 - Pengikraran hendaklah menggunakan Borang Kastam No. 2 bagi barangan berduti/cukai. Bagi barangan yang terlibat dengan tuntutan tarikbalik duti dan barangan yang diberi pengecualian duti, pemeriksaan barangan akan dibuat 100 % oleh Kastam di Kuala Kedah untuk ke Langkawi, Kuala Rompin untuk ke Tioman dan Menumbok untuk ke Labuan.

3.2.2.2 - Bagi barangan import samada berduti/cukai (telah dibayar duti/cukainya) atau tidak berduti/cukai, pengangkutan barangan dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke PBC hendaklah menggunakan borang Kastam no.3 dengan disertakan salinan borang Kastam no.1. Bagi barangan tempatan pula hendaklah menggunakan borang Kastam No.3 dan disertakan invois belian.

3.2.2.3 - Pemindahan barangan dalam transit yang berduti/cukai  dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke PBC melalui Kuala Kedah untuk transit ke Langkawi, Kuala Rompin untuk transit ke Tioman dan Menumbok untuk transit ke Labuan hendaklah diikrar menggunakan borang kastam No.8 dan disahkan penerimaannya di PBC masing-masing. Bagi barangan berduti eksais hendaklah menggunakan borang eksais No. 8 dan seterusnya mengikrar menggunakan Borang Kastam No.2 di Kuala Kedah, Kuala Rompin dan Menumbok..

3.2.2.4 - Pengeksportan barangan keluaran Gudang Pengilangan Berlesen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke PBC melalui Kuala Kedah untuk transit ke Langkawi, Kuala Rompin untuk transit ke Tioman dan Menumbok untuk transit ke Labuan hendaklah diikrar menggunakan borang kastam No.2 di Kuala Kedah, Kuala Rompin dan Menumbok.

3.2.2.5 - Pengikraran hendaklah menggunakan borang Kastam No. 8 bagi tujuan pemindahan barang  dari Gudang Berlesen atau  Zon Bebas atau diimport dari luar negara secara transit melalui Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke PBC berkenaan. Contohnya barangan dipindah menggunakan lori berkunci dari Gudang Berlesen Awam di Pelabuhan Kelang, ke Kuala Kedah melalui jalanraya untuk ke Langkawi.

3.2.2.6 - Bagi kenderaan berkunci atau kontena yang bersil, pemecahan sil dan pemeriksaan barang akan dilakukan di Pejabat Kastam PBC  berkenaan kecuali barangan ke Pulau Tioman, pemecahan sil oleh kastam dibenarkan di pejabat kastam Stesen Kuala Rompin.

3.2.2.7 - Barangan yang dihantar in transit melalui darat daripada luar   negara  ke PBC hendaklah diikrar menggunakan  Borang Kastam No. 8. Contohnya barangan dibawa dari Thailand menggunakan lori berkunci melalui Bukit Kayu Hitam ke Kuala Kedah untuk ke Langkawi.